Perancangan, Masjid dan Pasar

Selamat menyambut tahun baru hijrah 1431. Bertambah setahun lagi usia. Bagi saya yang lahir tahun hijrah 1384, usia saya mengikut tahun hijrah ialah 47 tahun, mengikut tahun masehi ialah 45 tahun. Begitu juga usia Nabi Muhamad SAW yang wafat pada usia 63 tahun mengikut pengiraan tahun hijrah. Junjungan kita lahir pada tahun 571 masehi dan wafat 632 masehi, kalau ditolak keduanya baru 61 tahun. Kalau dikira mengikut hijrah barulah usia Nabi Muhamad SAW 63 tahun. Ini fakta yang sering dilupakan.
Begitu juga tarikh 12 robiulawal. Tarikh ini ialah tarikh kelahiran nabi Muhamad SAW, tarikh baginda sampai ke kota Yathrib (kemudian dinamakan Madinah) dan juga tarikh kewafatan baginda. Tarikh 1 Muharam diambil sebagai tarikh permulaan tahun Hijrah disebabkan Saidina Omar Al Khattab mengatakan Nabi Muhamad SAW mula merancang hendak berpindah ke Madinah dari Mekah pada bulan tersebut(fakta ini berdasarkan ceramah oleh seorang ustaz di masjid al muttaqin wangsa melawati pada selepas magrib 1 hijrah 1431). Begitulah pentingnya aspek perancangan hinggakan ianya dijadikan tarikh permulaan tahun hijrah.
Antara usaha awal Rasullulah setelah berhijrah dari Mekah ke Madinah ialah menukarkan nama Yathrib ke Madinah Munawarah. Lagu nasyid "tholaal badru alaina" juga mula diperdengarkan semasa ketibaan Rasullulah. Tahniah kepada kumpulan nasyid saperti Raihan, Hijjaz, Rabbani, Yusuf Islam aka Cat Steven yang terus mendendangkan lagu nasyid ini, nasyid yang mempunyai sejarah tersendiri berkaitan dengan peristiwa hijrah Rasullulah.
Binaan yang pertama yang dilaksanakan oleh rasullulah ialah membina masjid. Masjid menjadi keutamaan kepada Rasullulah. Rumah Allah. Tapi zaman sekarang masjid jadi tempat nak berebut jawatan, tempat bersembang, sms masa kutbah jumaat pun ada dan macam-macam perbuatan yang dilarang termasuklah merokok. Perkara-perkara ini bukan berlaku disemua masjid tapi disetengah-setengah tempat baik di kampung atau di bandar-bandar. Cubalah kalau ada individu formatkan dalam komputer satu risalah, print dan fotostat banyak-banyak dan edarkan dalam kawasan perumahan masing-masing. Pengedaran tu boleh dilakukan menggunakan pengedar-pengedar suratkhabar kawasan masing-masing, bayar kepada mereka insyallah sampai lah kerumah orang-orang Islam. Contoh risalah tu saperti ini "kempen makmum sembahyang subuh umpama sembahyang jumaat ramainya, kita mulakan dengan subuh sabtu minggu pertama dan minggu ketiga, jom beramal". Ini hanya permulaan, lepas itu usahakan lah sehingga penuh masjid tiap-tiap waktu. Senang bukan dan tak payah ada jawatan dalam masjid untuk melakukan usaha ini.
Binaan yang kedua ialah Rasullulah membina pasar. Pasar ialah tempat berjual beli, dalam ertikata lain melakukan aktiviti perniagaan. Pentingnya perniagaan dalam masyarakat Islam telah di timbulkan dengan pembinaan pasar ini. Cukup simbolik dan penuh bermakna. Perniagaan adalah satu karier dalam kehidupan. Bercakap tentang pasar, kalau kita perhatikan Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Pekan Rabu di Alor Star, Pasar Payang di Kuala Terengganu, pasar-pasar ini mampu bertahan walau apa pun keadaan ekonomi melanda. Datanglah pesaing-pesaing dari pasaraya moden Giant, jusco dan sebagainya, pasar-pasar yang disebutkan tadi tetap wujud dan mampu bertahan. Konsep dan lebih banyak pasar saperti itu patut diwujudkan. Ianya satu model yang terbukti berjaya dan sesuatu harus dilakukan supaya pasar-pasar saperti ini wujud dibandar-bandar yang lain. Kuantan dan Ipoh contohnya, tidak ada pasar-pasar seperti ini. Dengan wujudnya pasar-pasar saperti ini, ianya akan dapat meransang ekonomi setempat yang mana majoriti pembeli dan penjualnya ialah Melayu Islam.
Aspek perancangan, masjid dan pasar sempena setiap kalinya Maal Hijrah sebenar banyak menyumbang kepada pembangunan Melayu Islam. Cuma kita dalam sedar tak sedar sebenarnya mampu melakukan sesuatu tanpa apa-apa jawatan maupun kuasa dalam sesebuah organisasi atau pertubuhan. Buat lah sekadar kemampuan kita sekarang, akan datang kita tak tahu lagi, teruskan merancang dan berusaha, manalah tahu satu hari kita pulak harus memimpin.


Digg Technorati del.icio.us Stumbleupon Reddit Blinklist Furl Spurl Yahoo Simpy

Suami Setia

Cerita ni asalnya email dari seorang kawan.......Seorang suami baru kematian isteri yang amat dikasihinya. Ketika suasana kesedihan di tanah perkuburan, sesudah imam membaca taklin, si suami terus menyiram air mawar, bukan satu cerek atau satu jar seperti kebiasaan orang, malah terus satu baldi.

Para hadirin merasakan tindak tanduk itu membayangkan betapa kasihnya suami ini kepada isterinya. Ramai yang bercucuran airmata melihat senario ini romantik ini. Tak kurang juga ramai daripada kalangan para hadirin yang berbisik di hati masing-masing betapa bernasib baik arwah mendapat suami yang bergitu setia dengan kasih sayang yang sedemikian solid.

Namum bagi kenalan rapat, tindak tanduk si suami ini mula minimbulkan tanda tanya apabila setiap pagi, tengahari dan malam si suami itu masih menyiram air di pusara arwah isterinya, bukannya secerek malah masih sebaldi serta ditaburkan baja. Kadang-kadang mereka mendapati beliau membawa kanta sambil meninjau dengan penuh teliti seolah-olah membuat kajian di atas tanah tersebut. Malah beberapa hari kemudian mereka telah melihat beliau memasang sprinkler di atas tanah perkuburan tersebut.

Apabila sudah masuk dua minggu amalan aneh ini berterusan, maka ada yang membuka mulut bertanya dan sekali gus ingin menasihati kerana bimbang takut-takut si suami ini semakin hilang akal lantaran kerinduan yang teramat sangat.

Apabila ditanya, si suami menjawab :
"Arwah isteri ku telah berpesan, jika beliau meninggal, janganlah kahwin lain sehingga rumput atas kuburnya tumbuh. Itulah sebabnya aku terpaksa siram sedemikian rupa untuk memastikan rumput agar cepat tumbuh!"

Beli Rumput Karpet lah Woi....HA HA HA


Digg Technorati del.icio.us Stumbleupon Reddit Blinklist Furl Spurl Yahoo Simpy

Pasrah Wang

Kehidupan hari hari sekarang semakin mencengkam dari sudut kewangan terutamanya. Nilai wang menjadi semakin kecil kalau di bandingkan dengan barang keperluan, kemudahan seperti kereta dam harga rumah. Contoh paling mudah Toyota Corolla(1.3 cc) tahun 1979 berharga RM 13,500 gaji pokok permulaan bagi yang mempunyai ijazah pada masa itu sekitar RM 1200. Maknanya Toyota Corolla masa itu 11 kali gaji pemegang ijazah. Gaji permulaan sekarang bagi 'degree holder' ni ialah sekitar RM 1,900. Harga kereta Toyota Corolla (Altis-1.6 cc) ialah sekitar RM 100k. Berapa kali gaji tu, dah jadi 50 kali, Perodua MYVi(1.3 cc) RM 43,000, 22 kali gaji, Proton Saga(1.3 cc) RM 37,000, 19 kali gaji siswazah. Kalau nak buat bandingan cara terus pula dulu Proton Saga 1987 RM 17,000 ++. Saya ingat sangat harga Proton Saga ni sebab dulu kawan baik masa sekolah adalah antara pembeli Saga yang terawal. Warna putih, plate no Cx xx44. Kereta tu pernah jatuh dalam sungai kalau tak silap. Tapi sekarang Saga paling murah RM 37,000. Nilai wang menjadi semakin kecil. Minum 'Teh' dikedai kopi tahun 1987 baru 40 sen, sekarang cubalah, sekitar RM 1 ke 1.30. Kalau pergi pasar belanja RM 50 tak jadi apa, tangan pun tak terasa berat nya barang yang dibeli. Ikan kembong kat pasar tu pun kadang-kadang melambung sampai RM 14 sekilo, kalau dulu musim tengkujuh pun baru RM 4 sekilo, itu pun awal tahun 90an. Agak mendadak kenaikan ini sebenarnya. Dimanalah silapnya !
Itu bandingan dengan gaji siswazah. Macam mana kalau nak bandingkan dengan orang-orang yang berpendapatan dibawah RM 2000 sebulan, tinggal dibandar besar, ada anak 3, bersekolah 2, baby satu, sewa rumah RM 300(kalau dapat lah), bil air, letrik, bas sekolah, susu anak, minyak motor/kereta, ansuran kenderaan, yuran sekolah(antara ada dan takada), makan pakai, tidur baring semua pakai duit.
Tapi yang hairannya, Tesco, Giant, Carrefour, OU, Cold Storage dan yang lain-lain yang seangkatan dengannya sentiasa penuh dengan manusia. Pantang keluar kereta model baru terutama Proton dan Perodua, penuhlah dijalan-jalan. Macam-macam offer, zero downpayment, zero interest, minimun document, tawaran harga terendah, beli satu menang satu, cuma kawin satu dapat dua tak dengar lagi. Adakah ini kerana pakej kewangan yang ditawarkan oleh bank-bank yang menyebabkan orang boleh berhutang untuk berbelanja. Mula-mula dulu credit card, lepas tu balance transfer, personal loan dan sekarang ni muflis/blacklisted pun boleh pinjam! Lepas ni agaknya lah asal ada ic sahaja boleh pinjam!
Salah satu senario yang ada sekarang dalam menyelesaikan masalah kewangan ialah ambil hutang bayar hutang. Kita sekarang dihimpit kemelut inflasi, defisit, pertumbuhan ekonomi yang negatif dan macam macam terma dalam kehidupan kewangan moden. Saya sendiri telah melalui kegawatan 1987, yang saya kurang faham sebab dan keadaannya, yang saya tahu pada masa itu kurangnya peluang pekerjaan dan perniagaan. Ketika itu akbar yang popular menyediakan ruangan kerja kosong ialah 'Malay Mail' bukannya 'The Star' macam sekarang. Masih ingat lagi ketika itu tiada iklan kerja kosong yang ditawarkan. Sibuklah agensi kerajaan saperti MARA dan kerajaan negeri membuat 'pakej' untuk siswazah menganggur. MARA menawarkan pinjaman tanpa penjamin sebanyak RM50,000 pada masa itu, ada kerajaan negeri menawarkan tanah-tanah untuk pertanian. Tapi yang saya ingat sangat pada masa itu ialah tiada kenaikan harga barang, tak ada kecoh minyak naik, tambang bas sekolah tak naik, tak adalah ahli politik berkecoh dalam parlimen. Keadaan aman dan terkawal.
Tetapi kegawatan sekarang ini menampakkan senario yang amat berlainan. Yang bukan bukan banyak berlaku, minyak naik, tambang teksi naik, bukit runtuh, parlimen tak payah sebutlah, macam macam hal, sama aje yang disini dan yang disana, bercakap tiada perbuatan, orang sini bagi projek, orang sana cakap tiris, orang sini tak bagi projek, orang sana kata tak cekap, lambat, tak tahu mengurus, macam-macam, siapa yang rugi, kita semua yang rugi.
Itulah yang ingin disampaikan disini, senario perbandingan dulu dan sekarang, orang dulu gawat juga, tapi menangani dengan baik dan berhemah, mana kita dengar pakej-pakej kewangan yang pelik dulu, nak beli kereta, kena bayar downpayment dan selebihnya ambil loan. Down payment dulu dulu 10 ke 20%. Sekarang nak beli kereta boleh full loan. Bayar pendaftaran RM150 kereta boleh dikeluarkan. Tidak cukup setakat itu, beli kereta boleh dapat duit lagi. Kalau baru graduate ada kerja tunjuk ic, degree/diploma dan surat tawaran kerja boleh beli kereta. Kalau satu hari tak boleh/mampu bayar, nak jual kereta tak boleh, hutang lagi banyak dari nilai kereta. Kalau terjadi macam ni mula lah jadi NPL, bank kata peminjam tak mampu bayar, saman, tapi tanpa disedari dalam pemberian loan dahulu ada unsur 'sub prima'.
Fenomena saperti inilah yang banyak berlaku dalam proses pertambahan produk oleh bank-bank, jelas sekarang, dahulu gaji murah barang murah, hendak membeli kena berjimat, lepas graduate naik bas dulu atau pakai motor, kumpul duit buat down payment baru beli kereta. Sekarang graduate, dapat kerja, ada credit card, limit paling kurang RM 2000, beli kereta, tak boleh bayar blacklist. Sekarang pulak blacklist pun boleh pinjam loan lagi.
Mintak-mintak lepas ni adalah produk-produk yang menguntungkan peminjam/pengguna, takut nanti peminjam/pengguna takut nak berurusan, iyalah, asyik terkena, siapa tak serik atau makin galak, apa takut, tak boleh bayar bank 'buat produk' penyelamat. Takut nanti peminjam lingkup, bank ikut lingkup dan paling takut negara akan terlibat sama.


Digg Technorati del.icio.us Stumbleupon Reddit Blinklist Furl Spurl Yahoo Simpy

Perniagaan Antara Liku dan Gaya

Satu topik yang amat diminati apabila bercakap dengan kawan kawan samaada dikedai mamak atau teh tarik ditempat lain ialah 'business'. Bagi orang berpengalaman berniaga, yang dah biasa naik turun dalam business, topik yang sering dilontarkan selalunya realiti dalam kehidupan seharian. Topik-topik popular ialah hujung bulan nak cari gaji staff, staff nak berhenti kerja gomen sebab sekarang gaji gomen mahal, bagi yang minat main golf tu, itu jelah ceritanya dan masalah dapatkan payment, kerja dah siap payment sangkut. Kebanyakan nya berkisar mengenai realiti, jarang sangat yang mendabik dada walaupun ada segelintir yang bersikap sedemikian.
Berlainan pulak kalau kita duduk bersembang dengan orang-orang yang makan gaji. Ungkapan 'engkau bestlah ada business sendiri'. Itulah yang biasa kami dengari. Tak salah mereka berkata begitu kerana itulah yang mereka nampak. Masuk ofis kebiasaannya tidak mengikut waktu. Tak payah 9 to 5. Tak payah sangkut dalam jamned masa 'peak hour'. Itu kata orang makan gaji. Hakikatnya kita bekerja tanpa mengira waktu tak ramai yang tahu. Isteri dirumah saja yang tahu, anak-anak yang jarang jumpa abah. Kerap jugak ditanya oleh anak bongsu 'semalam abah balik tak'. Umur anak bongsu tu 7 tahun, adalah 3 atau empat kali dia tanya soalan tu tahun ini.
Pandangan masyarakat kepada ahli perniagaan ini menyebabkan ramai yang hendak sangat terjun kealam yang penuh cabaran ini. Cabaran yang berbagai-bagai, mental fizikal, hati perasaan, pahit jerih. Sampai kalau ibubapa yang tidak pernah berniaga jarang sangat yang faham kalau anak mereka ahli perniagaan. Itu anak dengan emak bapak tu, dengan orang lain lagi lah pulak. Tapi masih ramai yang bercita-cita untuk 'business'.
Sebenarnya tidak ada salahnya kalau hendak berniaga. Cuma kefahaman kenalah betul. Kalau 'nawaitu' perniagaan ialah untuk kekayaan semata-mata, lebih baik jangan mulakan. Basuhlah hati, tenangkan jiwa dan berfikirlah dengan waras. Menjadi ahli perniagaan ini sebenarnya karier kehidupan. Samalah ada orang jadi doktor, jadi kerani, jadi ustaz cukup bulan dapat gaji, cuma ahli perniagaan kena cari gaji sendiri. Mereka juga bekerja, biasanya mereka bekerja lebih dan pemikiran yang berjalan siang malam, itu yang menyebabkan pendapatan peniaga ni lebih, tapi barang diingat risiko mereka juga tinggi.
Menceburi bidang perniagaan ini mempunyai lebih dari satu cara. Ada yang bermula dari bawah, contohnya bermula dengan gerai kecil, mendapat restoran yang besar akhirnya. Ini lebih kepada cara usahawan. Ada yang bermula bekerja sebagai pekerja biasa, naik pangkat jadi manager, naik pangkat jadi director, kemudian jadi shareholder, kemudian barulah jadi 'business owner'. Ini cara koporat sebenarnya. Ramai yang beranggapan menjadi 'director' atau 'partner' adalah ultimate dalam sesuatu perniagaan. Sebenarnya tidak, jikalau perniagaan itu ada 'partner' yang keupayaan yang hampir sama baik dari segi kewangan dan fungsi tugas, jarang sangat perniagaan itu atau syarikat itu akan berjaya. Perniagaan yang sebegini biasanya bermasalah apabila duit banyak sangat atau duit sikit sangat. Jadi cara terbaik ialah jadilah usahawan, bermula dari kecil, berkembang menjadi besar. Kalau ikut cara koporat panjatlah sehingga menjadi 'business owner'. Kalau hanya sebagai 'director' dan 'shareholder' fikirlah dengan sebaiknya tentang peluang dan masa depan. Kecualilah kalau perniagaan keluarga atau 'partner bersama isteri'(yang terbaik contoh rasulullah bersama siti khadijah satelah berkahwin), biasanya berkekalan turun temurun.
Inilah perkara-perkara yang perlu diambil kira semasa memilih hendak melakukan perniagaan. Berilah pertimbangan yang sewajarnya. Ambil kira segala segi, banyakkan bersabar dan satu perkara yang pasti ialah perniagaan mesti berkembang, silap besar sekiranya membiarkan peniagaan berjalan tanpa berkembang kerana salah satu sebab, seperti kita juga staff kita juga ingin berjaya saperti kita. Apalah salahnya mengembangkan perniagaan dengan memberi peluang kepada staff kita menjadi 'director' walaupun satu hari mungkin mereka akan menjadi 'business owner', tapi tak apa, itu jihad namanya.


Digg Technorati del.icio.us Stumbleupon Reddit Blinklist Furl Spurl Yahoo Simpy

Melayu & Islam

Saya amat tertarik apabila petang tadi saya terfikir tentang fakta peratusan wakil parlimen(MP) melayu dan peratusan wakil parlimen yang beragama Islam dalam dewan rakyat. Saya meminta tolong anak sulong saya, kakak, untuk mencari laman web parlimen malaysia untuk mendapatkan fakta- fakta yang saya kehendaki. Berdasarkan kepada pengiraan manual yang saya lakukan jumlah MP Melayu kalau dibandingkan dengan jumlah kerusi parlimen di Semenanjung ialah 65%. Jumlah MP Islam kalau dibandingkan dengan jumlah kesemua kerusi parlimen termasuk Sabah dan Sarawak ialah 59%. Manakala untuk dewan negara peratusan senator yang dilantik daripada parti UMNO dan PAS ialah 61% tanpa mengambil kira terdapat 5 kekosongan (fakta yang ada semasa blog ini ditulis). Jumlah keseluruhan kerusi dewan rakyat ialah 222 kerusi dan dewan negara ialah 70 kerusi(saperti yang saya katakan tadi cuma 65 kerusi telah diisi). Parlimen fungsinya ialah sebagai badan perundangan bagi kerajaan persekutuan.
Berdasarkan fakta yang saya nyatakan tadi saya hanya ingin menyentuh tentang keadaan ekonomi orang Melayu dan Islam. Mengikut fakta lagi 60% daripada rakyat malaysia ialah mereka yang beragama Islam. Dan juga majoriti dalam 60% ini ialah orang Melayu. Fakta yang cukup jelas dan amat menarik. Tapi malangnya fakta yang menarik dan jelas ini masih gagal membawa Islam dan Melayu keperingkat kejayaan ekonomi Melayu yang menyakinkan. Kesemua parti parti politik Melayu Islam di Malaysia ini baik kerajaan atau pembangkang terlalu berpolitik, jauh sekali duduk semeja untuk menyelesaikan kemelut ekonomi Melayu dan Islam. Isu yang selalu dilaungkan ialah PRU 13 yang tak tahu bila tarikh dan ketikanya. Sementara menunggu PRU 13 rakyat nak buat apa, ditambah pulak dengan isu kerajaan perpaduan, yang ini kata ya, yang itu kata tidak. Isu PKZ, isu ECM Libra, isu Maybank beli bank diIndonesia, isu komisen kapal selam, isu DS Anwar & Saiful dan paling terkini isu menantu Tuan Guru Nik Aziz. Satu saya ingin bertanya adakah dengan mencadang dan membangkang isu-isu tadi dapat menyumbang sesuatu kepada peningkatan ekonomi Islam khasnya dan Melayu amnya. Rakyat dipasak dengan isu-isu saperti ini hampir setiap hari. Suratkhabar disini begini dan suratkhabar disitu begitu. Mana akhirnya?
MP yang Islam dan Melayu yang ada dalam parlimen tu tolonglah fikirkan untuk menyelesaikan masalah ini. Tambahkan masa duduk semeja untuk berkompromi dan bekerjasama. Fikirkanlah perkara- perkara mikro yang boleh dimakrokan untuk kemajuan ekonomi Islam dan Melayu. Pemimpinlah yang perlu memimpin agar kepentingan rakyat terpelihara. Manusia bukannya 'perfect' mesti ada salah dan ada juga yang betul. Terimalah hakikat ini, namun kerjasama untuk meningkatkan keadaan masyarakat Melayu dan Islam mesti dimulakan dan diteruskan. Betul juga rangkap dalam lagu Warisan "kini kita cuma tinggal kuasa, yang akan menentukan bangsa, hasil mengalir ketangan yang lain, peribumi merintih sendiri".
Kalau setakat bagi "free" air pada rakyat, duit untuk masuk institusi pengajian tinggi, bantuan untuk ibu tunggal, duit bantuan banjir hentikan untuk diwarwarkan. Perkara-perkara ini memang kena buat pun.Fikirlah kedepan lagi agar macam saya kata tadi, makro, makro, makro untuk meningkatkan ekonomi Islam dan Melayu. Bangsa lain takkan marah kerana mereka kebanyakannya telah berjaya membentuk ekonomi mereka. Cuma kita berusaha mengambil hak kita. Kepada MP Islam dan Melayu bersatulah, kalau bukan dalam hal-hal lain pun, dalam hal meningkatkan halatuju dan kejayaan ekonomi ISLAM & MELAYU pun jadilah!




Digg Technorati del.icio.us Stumbleupon Reddit Blinklist Furl Spurl Yahoo Simpy